Saturday, September 5, 2009

Runtuhnya Akhlak

Sifat malu adalah akhlak yang terpuji dan salah satu tanda orang yang beriman. Dia antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang itu runtuh akhlaknya adalah:-

1. Lupa kepada Allah dan malas beribadat kepadaNya. Mereka ini tidak pernah terlintas untuk mengingati Allah sama ada ketika senang atau susah.

2. Melalaikan solat. Sengaja melengah-lengahkan atau melambat-lambatkan solat sehingga habis waktunya. Mereka ini akan mendapat ancaman dan seksaan Allah swt di akhirat kelak. Perkara ini dijelaskan oleh Allah swt di dalam Surah Maryam : 5, Surah Al-Ma’un : 47 dan Surah Al-Munafiqun : 9.

3. Orang yang sihat tubuh badannya, mempunyai masa lapang dan tidak uzur syari’i, tidak mahu ke masjid untuk solat berjemaah setelah mendengar seruan azan.

4. Meninggalkan solat Jumaat yang wajib secara sengaja adalah merupakan punca berlakunya keruntuhan akhlak di kalangan orang-orang Islam.

5. Mengamalkan sifat riak dan sombong. Dalam Islam perbuatan riak tergolong syirik kecil. Ia merosakkan amal kebajikan, melentur kemuliaan akhlak dan mendapat kemurkaan dan azab Allah swt.

6. Hasad dengki merupakan satu wabak yang berbahaya. Sikap tidak senang atas kenikmatan, kesenangan dan kelebihan yang ada pada orang lain dan berusaha untuk menghancurkan kenikmatan itu akan menyuburkan perasaan dendam, permusuhan dan berprasangka buruk terhadap orang lain. Orang yang mempunyai sifat ini akan merasa serba kekurangan pada dirinya.

7. Dusta, mungkir janji dan memfitnah di kutuk oleh Allah swt dan akan menjauhkan manusia daripada Allah swt. Sifat-sifat ini boleh mempengaruhi minda ke arah kejahatan dan boleh merosakkan sahsiah serta alam kebajikan. Kelemahan iman dan jiwa yang kotor akan membawa kepada perbuatan fitnah.

8. Mencaci, menyakiti dan mengejek orang lain boleh menjejaskan nama baik orang. Menjaga kehormatan diri dan maruah orang lain dapat membentuk masyarakat penyayang dan berakhlak mulia. Dalam surah Al-Ahzab : 58 dan surah Al-Hujurat : 11 Allah swt dengan jelas telah melarang perbuatan mencaci dan menghina.

9. Mempersendakan kesucian agama. Perbuatan mempersenda dan mempermainkan agama adalah perbuatan yang terkutuk dan dibenci dalam Islam. Dalam surah Al-Maidah:57 Allah swt melarang kita mengangkat orang yang memperolok-olokkan dan mepermaikan agama sebagai pemimpin.

10. Mengambil dan menguasai harta orang lain dengan jalan aniaya iaitu jalan yang tidak diredhai agama adalah dosa besar dan munafik. Sabda Rasulullah; “Barangsiapa mengambil sejengkal tanah(bumi) dengan tanpa hak nescaya ditenggelamkan ia pada hari kiamat ke dalam tujuh lapis bumi.”

11. Bergaul dengan orang yang memperolokan Al-Quran. Allah swt telah melarangkan kita daripada bergaul dan mendekati orang kafir dan munafik yang sentiasa mempersendakan al-Quran sebagaimana firmannya di dalam surah An-Nisa’:140. Dikhuatiri boleh menjejaskan dan merosakkan aqidah serta akhlak kita.

12. Membuka dan menceritakan rahsia orang lain adalah salah satu bentuk akhlak yang buruk. Allah telah memberi ingatan dan amaran kepada orang yang suka mendedahkan keburukan orang lain, di dalam surah An-Nur:19, bahawa mereka akan diberi azab yang pedih di dunia dan akhirat.

13. Suka kepada kesesatan dan menyesatkan orang serta bermuka-muka. Sikap sebegini adalah ciri orang munafik kerana mereka suka sengaja melambat-lambatkan amal makruf dan mempercepatkan nahi mungkar.

14. Memutuskan silatulrahim dan memecahbelahkan perpaduan kaum muslim. Sikap ini akan mengakibatkan putusnya hubungan kekeluargaan dan sahabat andai. Perbuatan memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian sesama muslim akan menyebabkan kejatuhan dan kehancuran umat Islam sehingga mendatangkan bala bencana dan azab Allah swt.

Apabila mata hati seorang manusia telah gelap dan buta, maka segala sifat-sifat yang tersebut di atas akan menular dan menjadi sebati di dalam dirinya. Mengikut Imam Ibnu Athaillah al-Iskandari “Kesungguhan dan kerajinan untuk mendapat sesuatu yang telah dijamin pasti akan sampai kepadamu, dan pada masa yang sama anda mengelak sesuatu yang menjadi kewajipan dan telah diamanahkan kepadamu, maka hal yang sedemikian itu adalah menunjukkan ke atas telah tertutup mata hati anda (yakni membuktikan mata hatimu telah menjadi buta).”


Rujukan:

1. Terjemahan Hadith Sahih Muslim. Al Imam Muslim

2. Bimbingan Menjadi Wali Allah. Abu Mazaya Al Hafiz

3. Akhlak Terpuji Kunci Ke Syurga. Dr. Akram Ridha, Terjemahan oleh Yahya Nuryadi

No comments: