Friday, January 30, 2009

Kelebihan Seorang Guru dan Pendidik

Zaid bin Aslam telah melaporkan daripada bapanya dan daripada beberapa sahabat Rasulullah SAW, katanya:
Golongan hamba Allah yang paling dicintai oleh Allah selepas para Nabi dan para Syuhada ialah para guru, dan tiada suatu tempat di dunia ini yang paling dicintai oleh Allah selepas masjid yang di dalamnya dibacakan Al-Quran.

Daripada Ibrahim An-Nakhie, katanya:
Guru yang mengajar kanak-kanak dimohon keampunan oleh para malaikat di langit, haiwan di bumi, burung-burung di udara dan ikan-ikan di laut.

Dan dikatakan bahawa jika seseorang kanak-kanak diajarkan Al-Quran dan belajar membaca Bismillahir Rahmanir Rahim, Allah akan mengampunkan tiga orang iaitu bapanya, ibunya dan gurunya.

Abu Said Al-Khudri telah berkata:
Sesiapa yang mengajarkan Al-Quran kepada anak lelaki atau anak perempuannya, setiap dirham yang diberikan kepada gurunya itu diumpamakan seberat bukit Uhud.

Apabila seorang kanak-kanak keluar dari rumahnya untuk belajar Al-Quran, maka bertambahlah kebaikan dalam rumah ibubapanya itu dan berkuranglah keburukan dalamnya serta syaitan akan lari dari rumahnya.

Hasan Al-Basri telah berkata:
Sesiapa yang mengajarkan anaknya Al-Quran, maka Allah akan memakaikan kepadanya pada hari Kiamat kelak dengan tiga jenis pakaian dari syurga yang lebih baik dari dunia dan segala isinya di mana manusia lain (pada ketika itu) berada dalam keadaan telanjang serta Allah akan menambahkan kedudukannya bagi setiap huruf Al-Quran yang diajarkannya.

Abu Abdul Rahman As-Sulami telah melaporkan daripada Uthman bin Affan RA, katanya: bahawasanya Rasulullah SAW telah berkata:
Sebaik-baik kamu ialah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.

Berkata Abu Badul Rahman: Dengan sebab hadis ini aku duduk dalam majlis ini bagi mengajar orang lain. Beliau juga menjadi guru kepada Hasan dan Husin (cucu Nabi SAW, semoga mereka dirahmati Allah).

Ad-Dahak telah melaporkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW bahawasanya baginda telah berkata semasa Haji Wida’:
Ya Allah, ampunilah para guru dan panjangkanlah umur mereka dan berkatilah usaha dan kehidupan mereka.

Anas bin Malik telah melaporkan dalam hadis yang lain bahawasanya Nabi SAW telah berkata:
Ya Allah, berilah kekayaan kepada para ulama dan fakirkanlah para guru.

Al-Faqih berkata: Yang dimaksudkan dengan kata baginda “fakirkanlah para guru” ialah janganlah engkau perbanyakkan harta mereka kerana dengan sebab banyaknya harta, mereka akan meninggalkan tugas mengajar mereka.

3 comments:

aisyah said...

alhamdulillah n syukur kerna sy telah menjadi pendidik

itsukee said...

saya nak jd guru

gummybear said...

syukur ke hadrat ilahi kerana menjadikan saya seorg guru.. :)